Wednesday, 26 March 2025

Cendol Sagu Lengkong

 


Salam Ramadhan ke 26.

Sehari dua ni agak panas, apa lagi keluarlah craving2 yang pelik2. 
Teringin sangat nak makan dessert yang sejuk-sejuk lemak dan manis.

Menu yang paling senang, cendol beli ready made.
Balik rumah cuma sediakan santan pekat (kelapa parut putih perah dengan air panas).
Sediakan gula melaka. Masak gula melaka dengan gula putih, letak air sikit sahaja supaya air gulanya pekat.
Sagu direbus sampai masak dan basuh bersih, toskan.

Campurlah semua sekali, letak ais banyak2, perghhh...dua mangkuk Cik Wan makan.

Apa lagi, esok jangan lupa cari cendol ya...




Thursday, 20 March 2025

Kerabu Timun Asli Kelantan

 



Bahan-bahan sambalnya;

1/2 biji kelapa-jadikan keresek.
4 ulas bawang merah
1 sudu lada hitam
3 ekor ikan sardin/selayang dibakar/ 2 ekor ikan kembung

Tumbuk lumat semua bahan.

Bahan kerabu/sayur:

Timun- sagat/hiris halus (Gunakan timun biasa BUKAN Timun Jepun- bau lebih wangi dan segar)
Daun kesum- hiris halus
1 kuntum bunga kantan- hiris halus
Bawang merah kecil-hiris nipis
Cili api-potong kecil

Bahan perisa/kuah:

2 mangkuk santan pekat- perahan daripada sebiji kelapa parut (guna air masak)
1 biji asam limau nipis
Garam
Gula
Ajinomoto jika suka

Langkah menyediakannya:
  1. Masukkan semua bahan kerabu (sayur) dalam mangkuk besar.
  2. Masukkan semua bahan sambal/tumbuk, bahan perisa/kuah dan gaul sebati.
  3. Rasakan masin, manis dan masam secukupnya. Siap!

Sambal Jawa Sedap

 


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sudah Ramadhan ke 19 hari ini. Semoga semua sihat-sihat sahaja. Berbaki 10 hari yang terakhir. Semoga kita istiqomah dalam melaksanakan ibadat dan apa juga perkara-perkara baik dan jauh daripada perkara-perkara yang akan merugikan kita. 

Walaupun kami asalnya orang Kelantan, tapi tekak kami ni universal. Sambal Jawa ni memang kegemaran anak-anak. Masa berbuka puasa semalam, Zikry tak putus-putus kata, sedapnya ...sedapnya..the best ever hahaha. Selalu gitulah kalau apa yang kita masak kena dengan tekaknya. Jom tengok resepinya. Mana tahu, sedap juga pada selera tuan dan puan.

Bahan-bahannya;


1 peket tempe- dipotong dan digoreng hampir garing
2 buku tauhu segar- dipotong kecil dan digoreng hampir garing
1 mangkuk kecil udang kertas
 4 biji kacang panjang- dipotong serong
2 biji cili besar hijau-potong serong
2 biji cili merah besar-dipotong serong
1 peket suhun-direndam
1-2 peket fucuk -direndam

4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 genggam ikan bilis
1 sudu serbuk cili
Kicap manis
Air asam jawa secukupnya- saya guna dalam 1 sudu asam jawa.
Garam
Gula

Cara membuatnya;

  1.  Mesinkan semua bahan bawang, cili dan ikan bilis
  2. Keluarkan separuh minyak lepas menggoreng tempe, tauhu dan udang kertas tadi.
  3. Gunakan kuali yang sama untuk menumis bahan yang telah diblend.
  4. Tumis sampai naik minyak, Masukkan kicap,air asam jawa, garam dan gula. Rasakan masin manisnya.
  5. Masukkan kacang panjang, kacau sebentar.
  6. Masukkan suhun dan fucuk yang telah ditoskan, kacau sebati.
  7. Masukkan semua bahan goreng, kacau lagi.
  8. Akhir sekali masukkan cili potong. Kacau dan siap!.

Sunday, 9 March 2025

Kerabu Epal Hijau dengan Timun

 


Assalamualaikum dan salam Ramadhan ke-8.

Baru hari ke-8 tapi macam dah kering idea nak masak apa ya? 

Jom kita buat kerabu mudah2 tapi sedap dan menyegarkan. Kerabu ni enak ratah-ratah gitu sahaja. Jom tengok bahan-bahannya;

Bahan-bahannya:

2 biji epal hijau, buang kulit dan hiris nipis
1 biji timun jepun, hiris halus

1 cawan kelapa parut - sangrai/goreng tanpa minyak hingga perang

5 ulas bawang merah- mayang nipis (Cik Wan suka letak lebih)
Daun kesum jika ada- Cik Wan tak letak hari ni.

3-4 biji cili padi - boleh ubah ikut selera
1/2 sudu makan belacan bakar
1 sudu kecil garam
3 sudu gula
1 biji air asam limau nipis


Cara menyediakannya:
  1. Tumbuk kelapa hingga halus- jangan sampai pecah minyak. Keluarkan dan masukkan dalam bekas yang berisi epal, timun ,bawang dan daun kesum yang dah dihiris nipis.
  2. Tumbuk cili padi, belacan , garam dan gula hingga lumat.
  3. Masukkan dalam bekas epal tadi.
  4. Perahkan asam limau- gaul rata semuanya.
  5. Rasakan garam gulanya. 
  6. Siap!
Nota :
Boleh ditambah protin kesukaan seperti ikan bilis, udang kering, udang, isi ayam dan sebagainya. 

Selamat mencuba dan selamat berbuka.


Friday, 3 January 2025

Pulut Kuning

 



Assalamualaikum dan salam Jumaat Saiyyidul Ayyam. Penghulu segala hari.


01 Januari setiap tahun adalah hari kelahiran Allahyarham Mr A. 

Setiap tahun semasa hidupnya dan selepas pemergiannya, Cik Wan tidak pernah terlepas untuk menyediakan makanan kegemarannya. Sama ada nasi kerabu, nasi hujan panas atau nasi dagang. Selepas arwah tiadapun, tradisi memasak dan berkongsi juadah dengan jiran-jiran dan kadang-kadang jemput saudara mara datang ke rumah tetap diteruskan.

Tetapi, 01/01/2025 Cik Wan tidak sihat dan tidak mampu memasak seperti biasa, walaupun sebelum itu telah beli 5 kg santan untuk memasak 4 kg pulut kuning dan kerutuk 4 ekor ayam. Betul-betul tidak sihat jadi pertama kali dalam sejarah, Cik Wan tidak memasak apa2 pada 01/01/2025.

Maka hari ini, bila rasa badan dah okay sikit, Cik Wan tunaikan niat untuk sedekahkan pada guru-guru di sekolah sahaja. Sebab masih tidak berapa sihat, Cik Wan masak 2 kg pulut kuning dan 2 ekor ayam gulai darat  sahaja.

Ini resepi Pulut Kuning yang Cik Wan gunakan. Terima kasih kepada Allahyarham MIL yang mengajarkan resepi ini dan kepada Allahyarham Mok (nenek) Cik Wan yang menunjukkan cara mengukus pulut sejak Cik Wan darjah 1 lagi. Al Fatihah untuk mereka semua.

Resepi untuk 1 kg Pulut Kuning:

1 kilo beras pulut. (basuh bersih dan rendam selama sekurang-kurangnya 4 jam).
- rendam guna pewarna kuning atau kunyit bersama dengan 2 keping asam keping/gelugor)
1/2 kg santan pekat.
Garam
Gula

Cara mengukusnya:

  1. Bilas pulut yang direndam.
  2. Kukus selama 30 minit atau hingga naik wap.
  3. Sambil menunggu pulut dikukus, panaskan santan yang dicampur garam dan gula (bila dirasa, ada rasa masin sedikit dan hujung2nya ada rasa manis)- Santan dipanaskan hingga setakat garam dan gula hancur sahaja, jangan sampai menggelegak.
  4. Selepas 30 minit, angkat pulut dan gaul dengan santan tadi.
  5. Kukus semula pulut selama 20-25 minit atau sehingga naik wap.
  6. Siap dan boleh dikeluarkan, kacau perlahan2 sahaja jangan sampai nasi pulut patah.
Selamat mencuba...


Wednesday, 16 October 2024

Onde-onde Buah Melaka

 



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Jom kita buat onde-onde yang sedap ni. 
Kuih kegemaran kami sekeluarga dulu-dulu tapi anak-anak tak berapa suka. Jadi jaranglah buat. Kalau buatpun pada bulan Ramadhan dan diagih-agihkan kepada jiran-jiran.

Untuk pastikan gula nise cair di dalam buah onde-onde tu, gunakan gula nise asli ya. Kalau guna gula nise biasa, gulanya lambat cair. Buah onde-onde dah terapung menandakan dah masak tapi gula nisenya belum cair. Memang kurang sedap kalau intinya masih keras dan tak cair sepenuhnya.

Jom kita tengok resepinya:

Buah onde-onde;

3 cawan tepung pulut
2 sudu kecil air kapur
1 1/2 cawan air pandan- blend 7 helai daun pandan dan 1 tangkai pucuk manis dengan 1 1/2 cawan air. Tapiskan.


Masukkan air daun pandan dan air kapur tadi sedikit-sedikit ke dalam tepung sambil diuli hingga adunan menjadi seperti ini.



Nise dipotong kecil..tak boleh besar sangat, nanti susah nak dibungkus dengan tepung dan lambat cair bila direbus nanti...tak sedap jika nise dalam ondeh-ondeh tak cair.



Rebus hingga masak. Ondeh-ondeh akan terapung dan menari-nari dalam air supaya nise cair. Tapi jangan lama sangat. Biarkan sebentar baru diangkat dengan penapis kecil/senduk berlubang sambil ditoskan. Terus masukkan dalam kelapa yang telah disediakan.


Kelapa
1 biji kelapa parut putih segar
1/2 sudu kecil garam
1/2 gula
  1. Gaul bersama dan tekan padat atas dulang untuk memeudahkan menggoleh buah onde-onde.
  2. meletakkan gula ke dalam kelapa parut akan menyedapkan rasa kelapa parut dan yang paling penting kelapa parut lambat basi.



Kelapa digaul sedikit garam dan gula dan ditekan-tekan sedikit. Masukkan onde-onde yang siap direbus dan golek-golekkan supaya kelapa terlekat pada onde-onde. Masukkan dalam piring. 





Sedap nampak kan? Selamat mencubaa...


Friday, 11 October 2024

Kerabu Gajus/Terre

 



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sekarang Cik Wan tengah kumpulkan gambar-gambar masakan lama yang terkumpul di FB dan IG atau dalam phone. 

Tengah godek2 gambar, terjumpa gambar Kerabu Gajus ni. Asbab pokok gajus depan rumah berbuah, Cik Wan kutip dan buat kerabu kegemaran Allahyarham nenek Cik Wan, Che Jah bin Che Yusof. Jom kita tengok bahan-bahannya.



Bahan-bahannya ialah;

5-6 biji buah gajus- dihiris nipis dan perahkan sedikit buang air pahitnya.
1/2 buah nenas- dicincang panjang-panjang
4 ulas bawang merah
6-8 ulas lada hitam
Gula
Garam
Limau nipis
Cili api, daun ketumbar dan bawang merah hiris untuk hiasan.



Cara membuatnya;
  1. Sediakan hirisan gajus dan nenas dahulu. Masukkan ke dalam mangkuk besar.
  2. Tumbuk bawang merah dengan lada hitam hingga lumat.
  3. Masukkan kedalam hirisan buah tadi.
  4. Masukkan juga gula, garam, bawamg merah hiris dan cili padi.
  5. Gaul mesra. Rasakan masam, masin dan manisnya biar sekata.
  6. Siap.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...