Wednesday, 29 June 2016

Agar-agar Kering atau Beldo Kering untuk Hari Raya..



Assalamualaikum..

Menarik tak nampak agar-agar kering Cik Wan ni..first experiment, tak pernah buat sebelum ni. Resepi daripada mak mertua Cik Wan. Cik Wan tak pernah makan agar-agar kering sebelum ini. Tahun lepas pergi beraya di rumah sepupu Mr A di Tanah Merah, kami dihidangkan dengan agar-agar kering..masyaAllah...sedap rupanya kuih tradisional ni.

Bila nampak Cik Wan berminat benar dengan kuih ni, MIL berikan resepi turun temurun beliau. Katanya, buat dulu, kot-kot resepinya salah sebab dah bertahun tak buat. Alhamdulillah, Cik Wan cuba dan beginilah hasilnya..cantik sungguh.


Resepinya seperti di bawah;

Sumber : Puan Esah binti Che Min (MIL)

Bahan-bahannya;

20 gram agar-agar bertali
5 gelas air
3 gelas gula
1/2 peket gula batu (peket 250gm)
Pewarna yang digemari

Nota: Cik Wan gandakan kepada 3 untuk 3 warna berbeza.

Cara-caranya;

  1. Rendam agar-agar hingga lembut. Toskan.
  2. Panaskan air, gula batu dan gula hingga menggelegak dan gula batu larut.
  3. Masukkan agar-agar yang telah ditoskan.
  4. Masak hingga agar-agar larut.
  5. Masukkan pewarna yang disukai.
  6. Tapis ke dalam bekas untuk disejukkan.
  7. Bila dah sejuk, potong cantik-cantik dan keringkan.
  8. Kalau hari panas, hanya perlukan 2-3 hari untuk kering dan keluar sarak gulanya. Pastikan betul-betul kering baru botolkan kalau tidak agar-agar ini akan berkulat. 
Selamat mencuba...




Tuesday, 21 June 2016

Onde-onde Buah Melaka



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ini juadah berbuka Cik Wan semalam. Ondeh-onde Kelate. Cik Wan tak berapa puas hati setiap kali membuat onde-onde sendiri. Sebabnya ialah Cik Wan gunakan kelapa parut putih yang dibeli di kedai. Yang paling bagus sebenarnya kelapa yang agak muda dan diparut menggunakan parut kelapa yang manual tu..supaya dapat menghasilkan urat kelapa yang panjang-panjang. Sedap dan cantik hasilnya. Tapi tak apalah, tak ada akar, rotanpun berguna. Alhamdulillah..Pelbagai resepi membuat onde-onde tetapi bahan asasnya masih lagi tepung pulut. Ada yang dicampur tepung beras, ada yang letakkan tepung gandum dan ada juga yang diletak tepung ubi...terpulanglah, lain padang lain belalang ye tak?

Cik Wan gunakan resepi asal turun temurun dari arwah nenek2, arwah mek juga..jom, simple sangat.


Bahan-bahannya.

Buah onde-onde;

3 cawan tepung pulut
2 sudu kecil air kapur
1 1/2 cawan air pandan- blend 7 helai daun pandan dan 1 tangkai pucuk manis dengan 1 1/2 cawan air. Tapiskan.

Kelapa

1 biji kelapa parut putih
1/2 sudu kecil garam
1/2 gula

- Gaul bersama dan tekan padat atas dulang untuk memeudahkan menggoleh buah onde-onde.
*meletakkan gula ke dalam kelapa parut akan menyedapkan rasa kelapa parut dan yang paling penting kelapa parut lambat basi.

Cara-cara membuat onde2 boleh dirujuk di SINI. Ada rujukan bergambar. Selamat mencuba ya.


Sunday, 19 June 2016

Puding Sagu Bersantan



Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Hari ni Cik Wan berbuka berdua je dengan Mr A. Aifaa dah balik ke asrama. Masak ringkas-ringkas je. Singgang tulang, ikan bakar, budu tempoyak dengan ulam-ulam daun selasih, daun kemangi dna daun tenggek burung..pergghhh!!!. Pencuci mulut pula Puding Sagu Bersantan ni.. jom tengok resepinya.

Bahan-bahan;

1 peket sagu halus (250gm)- rebus hingga bijinya jernih dan cuci bersih untuk hilangkan kanjinya. Masukkan dalam bekas atau acuan yang digemari. Sejukkan.

Air Nise;

4 keping nise
2 sudu gula
1 helai daun pandan.
1/2 cawan air
- masak semua bahan di atas, sejukkan dan tapis. Sedia untuk diguna.


Santan;
Cara 1

1 biji kelapa parut putih
1 mangkuk air panas
1/2 sudu teh garam
- ambil santan dan letakkan 1/2 sudu teh garam, sedia untuk digunakan.

Hidangkan puding sagu mengikut cara tersendiri..Cik Wan buat macam ni saja..




Cara 2

Santan secukupnya.

Masukkan dalam periuk bersama garam. Panaskan dan masukkan sedikit vanila. Kacau hingga menggelegak. Tuutp api. Kacau tanpa henti hingga sejuk sedikit. Siap.

Cara 3

Gantikan dengan susu sejat...sedap dan senang..pilihlah mana-mana satu cara..semuanya sedap.
Selamat mencuba..

Saturday, 18 June 2016

Roti John untuk berbuka puasa..




Assalamualaikum dan selamat berpuasa. Semalam Cik Wan berbuka puasa dengan roti john dan kuew tiew sahaja. Dah kenyang makan roti john, tak bersentuh pula kuew tiewnya. Begitulah kita, masak banyak-banyakpun akan membazir. Bersederhanalah dalam berbuka puasa janganlah kita banyak membazir.

Mr A berbuka di luar semalam, nasib baik Aifaa balik dari asrama..taklah sunyi berbuka sorang-sorang. Zahirah dan Zikry tak puasa.. belum mampu berpuasa penuh.

Resepi ni sangat mudah, dah lama tak buat. Dua tiga hari lepas Mr A bawak balik sepeket roti john. 5 biji roti yang berharga RM7 sahaja. Memang untung kalau buat sendiri. Boleh makan panas-panas, bersih dan yang penting in sya Allah penuh barokah..memasak dengan bismillah dan selawat ke atas JunjunganNya, dengan penuh kasih sayang pulak tu :)

Jom tengok bahannya;

2 keping daging burger- Cik Wan guna burger ayam Ramly (lenyek hancur)
3 biji telur
1 sudu teh serbuk kari daging
2 cubit garam
Sedikit lada sulah
1/2 labu bawang besar didadu

**** Gaul sebati semua bahan dan sedia untuk diguna. Gunakan nonstick pan lebih mudah. Cik Wan guna Magic Pan.

Nota: Daging burger TAK PERLU dimasak terlebih dahulu ya, gaul je semuanya.

Bahan-bahan lain:

Roti john/roti benjo@hotdog dibelah dua.
Minyak untuk menggoreng,

Sayur yang digemari.
Sos cili
Mayonis




Masukkan inti roti john ke dalam pan. ikut saiz roti yang dibelah dua ya.
Tengok warna inti tu,,dah warna putih macam ni dah boleh letak roti ke atasnya.

Dah nampak telur dibawah tu dah warna perang, boleh dibalikkan roti.
Sekejap saja hanya untuk panaskan bahagian atas roti sahaja,

Macam ni rupanya.

Boleh letak sayur yang digemari..Cik Wan guna kubis, tomato dan bawang besar.
Letak sos cili dan mayonis.

Tadaaa...
Selamat mencubaa...

Friday, 17 June 2016

Kerabu Udang sama Suhun



Menu ringkas tapi sungguh menyelerakan..Cik Wan ratah-ratah jer...jom tengok resepi ulangan ni ye..



Bahan-bahannya;

Udang- dibuang kulit dan urat belakang. Rebus 1 minit  dan terus keluarkan, masukkan dalam air batu.(boleh tukar dengan sotong atau campur kedua-duanya)
Suhun- direbus dan ditoskan airnya.

Sayur-sayuran:

Celery
Tomato
Timun
Bawang besar
Cili padi
Daun ketumbar
1 batang serai dihiris nipis

Perisa;
 
3 sudu  air limau nipis
3 sudu  Sos Nampla (sos ikan )
2 sudu  gula
* tambah jika kuantiti udang dan sayurnya banyak. Cik Wan buat dalam 2 mangkuk kecil sahaja.

Cara:

  1. Satukan sayuran, suhun dan udang di dalam bekas. 
  2. Masukkan sos ikan, gula dan perah asam limau nipis. 
  3. Rasakan agar masin, masam dan manis. 
  4. *Jika suka boleh juga masukkan serai hiris dan kacang tanah yang disangrai.



Friday, 10 June 2016

Nasi Kerabu di Bulan Ramadhan..



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ramadhan ke lima hari ini. Semoga ibadah kita diterima Allah SWT hendaknya.

Petang semalam Cik Wan masak nasi kerabu hitam/biru. Orang Kelantan panggil nasi kerabu hitam. Lama dah tak dengar panggilan tu. Teringat-ingat Nasi Kerabu Kambing Bakar di Berek 12 Kelantan..memang sedap sangat dan rasanya lebih sedap daripada nasi kerabu lain di Kota Bharu. Beratur panjang pembeli yang nak membelinya. Kebanyakan untuk dibungkus kerana hanya 5 buah meja disediakan bagi yang hendak menikmatinya di situ. Cik Wan dan adik dibawa oleh anak saudara kami Si Syakur  yang turut datang menjaga tok meknya di hospital. Jauh datang dari Perak mengejarkan hari hujung minggu untuk turut sama menjaga mek di hospital Kota Bharu dulu. Semuanya tinggal kenangan..

Jom kita tengok resepi..resepi yang sama dan selalu Cik Wan gunakan..

Sambal Kelapa

Bahan-bahannya:
1/2 biji kelapa parut disangai garing (warna dark brown) dan ditumbuk lumat (jangan sampai pecah minyak)
4-5  ekor isi ikan selayang/sardin atau kembung (paling baik dibakar kerana akan kurang hanyir berbanding dikukus atau direbus)- hari ni Cik Wan rebus saja
6 ulas bawang merah
1 sudu lada hitam
3-4 batang serai (lihat saiz)
gula/gula melaka, garam secukup rasa

Cara:

  1. Tumbuk halus/lumat semua bahan. 
  2. Gaulkan hingga sebati/mesra. (Gaul ramas)
  3. Sudah siap, tekan-tekankan hingga rapat dan disendukkan ke dalam pinggan waktu menghidang nanti.


Sambal Tumis

1 biji kelapa-ambil santan pekat
5-7 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit halia
2 batang serai
5-6 biji cili kering
2 keping asam keping

Gula/gula melaka
Budu
Garam- hati-hati dengan garam sebab budu dah masin.

Cara memasak:


  1. Masukkan santan dalam periuk. 
  2. Biarkan hingga menggelegak tanpa perlu dikacau.
  3. Mesinkan semua bahan kecuali asam keping. 
  4. Masukkan dalam santan yang sedang menggelegak tadi, masukkan asam keping. 
  5. Kacau sekali-sekala.
  6. Masukkan gula,budu dan garam. 
  7. Masak sampai kuah pekat dan pecah minyak. 
  8. Rasanya mesti masam, manis dan masin.


*kalau nak tumispun boleh. Caranya;

  1. Tumiskan semua bahan mesin hingga garing.
  2.  Masukkan santan, asam keping, garam/budu dan gula. 
  3. Masak hingga pekat.



Sayur Ulam

Bahan-bahannya yang boleh digunakan;

Timun
Kacang panjang
Kubis
Bunga Kantan
Daun kesum- wajib ada untuk bangkitkan bau
Daun kunyit muda- wangi baunya
Taugeh
Daun selasih
Daun selom

Hiris halus-halus (kecuali taugeh) dan gaul bersama.


Air Lada (jika suka)

10 biji cili padi merah
Cuka
gula
garam
Cili ditumbuk/dimesin bersama-sama dengan gula dan garam (1 bhgn garam, 2 bhgn gula) dan dibancuh dengan cuka.

Budu
 Perahkan limau nipis serta patah2kan cili api ke dalam budu.


Nasi

Boleh memasak nasi biasa.
Boleh masak nasi warna biru( gunakan pewarna atau bunga nasi kerabu/telang)
Boleh masak nasi berwarna kuning guna kunyit.

(masukkan sedikit garam dan 2 helai daun limau purut semasa memasak nasi)


Bahan lauk yang boleh dihidangkan bersama nasi kerabu;

  1. Telur masin
  2. Keropok keping
  3. Keropok lekor
  4. Sambal ikan bilis
  5. Ikan bakar/percik
  6. Ikan celup tepung
  7. Ayam bakar/percik
  8. Daging bakar/percik
  9. Etok
  10. Ikan rebus goreng
  11. Kerutuk
  12. Dan macam-macam lagi.....ada yang hidangkan dengan ketam..hebat dah nasi kerabu zaman millenium ni..Selamat mencubaa.


Thursday, 9 June 2016

Siakap Goreng Raad Prik Lagi...kegemaran putera puteriku


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ikan Raad Prik lagi. Memang anak-anak Cik Wan sangat sukakan masakan ini. Cik Wan juga suka memasaknya kerana caranya yang mudah dan kosnya sangat rendah..hanya beli ikan,cili, bawang putih serta daun ketumbar.


Boleh gunakan apa jenis ikan yang anda suka..untuk resepinya boleh ke SINI ya. Cik Wan regukan dengan tomyam seafood mudah yang boleh dirujuk di SINI. Gambar tomyam tu nampak tak cun, tapi resepinya sangat cun hehehe..fully recommended.

Selamat mencuba..selamat memasak dan memasaklah dengan penuh kasih sayang dan keihklasan..

Sayur Lemak Kacang Panjang sama Daun Bayam





Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Masakan yang simple sahaja untuk berbuka. Sayur lemak, ikan bakar, budu yang diparut mangga muda..aduhaiii..


Ikan bakar menggunakan ikan aya kecik..memang terbaik. Yang tak pernah cuba bakar ikan ni, boleh mencubanya. Isinya lembut putih sangat sedap. Ikan bakar begini sangat popular di Thailand. Orang kita mungkin takut hanyir dan sebagainya tapi percayalah..memang mabeles dan lebih sedap daripada ikan kembung atau selayang. Cuma..kena cari ikan aya kecik ye..

Berbalik kepada tajuk kita..sayur lemak, boleh guna macam-macam jenis sayur yang kita suka..campur2 pun boleh ya. Cik Wan guna kacang panjang..kalau zaman dolu2, arwah nenek akan celur/rebus dulu kacang sebelum dimasukkan ke dalam santan. Cik Wan tak celurpun, terus masuk dalam santan. Begitu juga dengan sayur bayam, orang dulu akan membuang kulit batang bayam dengan menyiatnya. Cik Wan tak siat buangpun..sayang fiber tu..bagus untuk usus. Jangan bimbang..lembut juga batang bayam tu selepas dimasak hehehe.

Jom tengok resepi;

Bahan-bahannya;

1 ikat kacang panjang- potong sepanjang 2 inci lebih kurang
1 ikat bayam-asingkan batang dengan daunnya
3 ulas bawang merah
1/2 sudu besar lada hitam
2 ekor isi ikan rebus- Cik Wan guna sardin/selayang
1 biji kelapa parut - ikut suka tahap lemaknya/banyaknya kuah
1 biji cili merah- hiris nipis
Garam
Gula


Cara memasaknya;

  1. Masukkan santan dalam periuk.
  2. Tumbuk lada hitam, bawang merah dan isi ikan. (Tumbuk ikut urutan ya..baru senang nak lumat)- nak blend pun boleh..guna santan ya.
  3. Masukkan bahan tumbuk dalam santan. 
  4. Boleh terus masukkan kacang panjang dan batang bayam serta garam dan gula.
  5. Buka api, kacau hingga menggelegak.
  6. Masukkan daun bayam dan cili merah potong. 
  7. Kacau sekejap sahaja..tutup api. Siap.
  8. Bila dan tutup api, teruskan kacau untuk satu minit supaya santan tidak berkelodak. Siap!!.

*goreng pulak ikan masin..pergghhh.



Wednesday, 8 June 2016

Akok lemak manis kesukaan ramai


Assalamualaikum. Selamat berpuasa. Hari ni kami sekeluarga berbuka puasa dengan kuih akok. Untuk resepi boleh klik ke SINI. Hari ni Cik Wan gunakan nise dari Kelantan..rasa dan warnanya lebih ori..puas hati.

Tadi saje-saje cuci mata menziarah blog-blog terkenal di Malaysia. Terharu bila singgah di blog Puan Azlita Masam Manis, blogger paling hebat di Malaysia dan idola sejak sekian lama. Beliau telah menggunakan resepi akok dari blog Cik Wan tapi telah diterjemahkan dalam bentuk dan penampilan yang sehebat blog ternama tu. Untuk melihat bagaimana Ita menzahirkan resepi akok kedut ni, bolehlah melawat ke Masam Manis, pasti anda teruja..Cik Wan apatah lagi.

Semoga resepi ini memberi manafaat kepada sesiapa yang mencubanya sama ada untuk kegunaan sendiri atau untuk perniagaan. Terima kasih Kak Azie dari blog Azie Kitchen, pemilik asal resepi akok ni. Kita panjang-panjangkan perkongsian beliau..moga mendapat keberkatan..amiiin. Selamat mencuba.

Tuesday, 7 June 2016

Butir Nangka....perghhh !!




Assalamualaikum dan selamat malam. Hari kedua Ramadhan..tekak tengah kemaruk kuih muih Kelantan. Semalam kuih sagupal, hari ni pula bubur butir nangka. Resepi yang sama cuma biji sagu ditukar dengan butir nangka yang dibuat daripada tepung pulut dan air kapur sahaja. Favourite Cik Wan ni..jom tengok resepinya;

Bahan kuahnya;

1 biji kelapa parut- ambik 5 gelas santan
1 1/2 cawan gula
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh halba
3 sudu tepung beras untuk memekatkan kuah.
2 helai daun pandan disimpul.

Cara menyediakan kuahnya;

  1. Campur semua bahan  kecuali tepung beras.
  2. Tepung beras dibancuh dengan santan dan kacau sebati sebelum dimasukkan ke dalam periuk yang telah disatukan semua bahan tadi.
  3. Kacau atas api sederhana.
  4. Bila menggelegak, perlahankan api dan kacau sekali sekala sebelum dimasukkan butir nangka yang telah masak.

Bahan butir nangka;

3 cawan tepung beras pulut
1/2 sudu teh air kapur
1 cawan air
Pewarna yang digemari- warna tradisional menggunakan air daun pandan sahaja.

Cara membuatnya;
  1. Satukan tepung beras dan air kapur dalam mangkuk besar untuk memudahkan proses menguli.
  2. Masukkan sedikit-sedikit air sejuk dan uli perlahan-lahan hingga adunan tidak melekat di tangan.
  3. Bahagikan kepada 3 bahagian.
  4. Panaskan air untuk merebus butir nangka.
  5. Adunan pertama yang tidak diletak pewarna- gentel kecil2 dan masukkan ke dalam periuk rebusan.
  6. Bila dan terapung, tapis dan masukkan ke dalam kuah yang telah siap tadi.
  7. Untuk adunan hijau, titikkan beberapa titis pewarna hijau dan uli hingga warna sebati. Kemudian gentelkan dan masukkan dalam air rebusan. Bila sudah terapung, tapis/angkat dan masukkan dalam periuk kuah.
  8. Teruskan cara yang sama untuk adunan warna merah.
  9. Kacau sebati dalam kuah. Siap!.


Sagupal yang tak lapuk di zaman..





Assalamualaikum. Ini pencuci mulut Cik Wan sekeluarga untuk hari pertama puasa. Sagupal atau kalau di Tumpat dipanggil juga beronok berkuah. Cik Wan juga masakkan sira tapai ubi..request daripada Mr A tapi lupa nak ambik gambar hehehe.

Resepi dah ada kat SINI, tapi kali ni Cik Wan masak banyak sikit iaitu 2 cawan biji sagu.

Bahan-bahannya;

Untuk sagunya;
2 cawan biji sagu halus
1 cawan air panas(baru mendidih)
Air secukupnya untuk merebus

Cara-caranya;

  1. Masukkan sagu ke dalam mangkuk yang mudah untuk dikacau. 
  2. Tuangkan air panas dan kacau dengan cepat. 
  3. Kacau hingga sagunya bergentel dan boleh dibentuk. 
  4. Gunakan sudu kecil, ambil 1/2 sudu dan gentelkan (tak perlu bulat sangat pun)
  5. Terus masukkan dalam air panas yang menggelegak (api perlahan)
  6. Tunggu sampai sagunya terapung dan jernih bijinya. 
  7. Sambil itu, sediakan kuahnya. 


Untuk kuahnya;

1 biji kelapa - ambil 5-6 cawan santan
1/2 sudu halba
2 helai daun pandan
1/2 sudu kecil garam
2 cawan (ikut suka manisnya)
4 sudu tepung beras.

Cara-caranya;

  1. Satukan santan, halba, garam, gula dan daun pandan.
  2. Kacau kuahnya di atas api hingga menggelegak (api sederhana sahaja) 
  3. Masukkan bancuhan tepung beras. Kacau hingga menggelegak dan perlahankan api.
  4. Tapiskan buah sagupal. 
  5. Masukkan ke dalam kuah yang sedang menggelegak. 
  6. Kacau sebentar. Siap. 

Selamat mencuba...



Monday, 6 June 2016

Puding Roti






Ini puding yang Cik Wan buat malam semalam. Dah lama teringin nak buat. Senang sahaja resepinya. Boleh tambah dan kurangkan mana yang patut.

Bahan-bahannya;

1 peket agar-agar bertali 20gm
7 keping roti
4 gelas susu cair/susu segar
4 gelas air
1 1/2 gelas gula
2 biji telur
1 sudu esen vanila
1 sudu besar serbuk koko


Cara-cara membuatnya;

  1. Rendam agar-agar hingga lembut.
  2. Masakkan 4 gelas air.
  3. Bila menggelegak, masukkan agar-agar dan masakkan hingga hancur.
  4. Masukkan gula. Masak hingga gula hancur.
  5. Pada masa yang sama koyakkan roti ke dalam blender.
  6. Tuang susu ke dalam blender bersama telur dan esen vanilla.
  7. Blend roti, susu, esen vanilla dan telur hingga hancur lumat. Sedia untuk dimasukkan dalam agar-agar yang tengah dimasak.
  8. Bila agar2 dan gula telah hancur, tapiskan dan masakkan semula.
  9. Masukkan bancuhan roti tadi dan kacau hingga menggelegak.
  10. Bahagikan kepada dua bahagian.
  11. Bahagian kedua masukkan serbuk koko. Kacau sebati (Cik Wan bancuh dulu dengan  sedikit bancuhan agar2 sebelum ditapis dalam bekas agar2 )
  12. Bolehlah  mula dimasukkan ke dalam bekas secara bergilir2.
  13. Kalau mahu cantik, sendukkan setiap adunan berselang seli   ke atas satu titik tengah  di dalam loyang/bekas. Anda akan mendapat bentuk marble zebra.
  14. Yang ni Cik Wan hanya masukkan terus berselang seli dalam bekas. Hajatnya nak buat lapis2..tapi malas pulak nak tunggu beku kikikii. Itulah jadinya kerja orang malas. 
  15. Selamat mencuba ya.


Ramadhan Kareem



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat menyambut Ramadhan yang mulia. Maafkan Cik Wan jika ada salah dan silap sama ada sengaja atau tidak sengaja. Semoga ramadhan tahun ini menjadi ramadhan yang terbaik dan bukan yang terakhir untuk kita semua.

Ramadhan kali pertama tanpa Mek. Doakan agar Mek termasuk dalam golongan orang-orang yang memasuki syurga tanpa hisab. Amiinn.

Selamat meneroka resepi-resepi yang ada di dalam blog ini untuk juadah berbuka dan juga bersahur. Walaupun mudah, ringkas dan hanya seadanya, semoga masakan anda semua diberkati Allah dan diberi ganjaran pahala yang berganda-ganda. Selamat berpuasa dan selamat memasak dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan. Semoga berbahagia di sepanjang bulan mulia ini dan selama-lamanya.


Wednesday, 1 June 2016

Kerabu Dedaun Ulam



Assalamualaikum.
Hari ni pagi-pagi lagi Cik Wan dah sampai ke Pasar Kajang. Cik Wan jarang ke sini. Sepanjang 18 tahun tinggal di Kajang, rasanya tak sampai 10 kali naik ke Pasar Kajang. Kalaupun datang hanya di kedai bunga di kaki lima pasar tempat Cik Wan beli bunga-bunga ros segar, itupun kalau kebetulan lalu di kawasan itu.

Bila dah masuk sini banyaklah jumpa ulam-ulam segar. Apalagi...borong sakan la Cik Wan. Seikat besar daun pegaga, seikat daun selasih, daun selom, daun kesom selain bawang dan cili. Berdesup balik rumah tak sabar nak buat kerabu daun-daun ulam ni hahahaha. Jom, tengok resepi kerabu mudah ringkas dan sedap ni.

Baha-bahannya; (A)

1 ikat besar daun pegaga*
1 ikat daun selom*
2-3 tangkai daun selasih*
Hiris halus *
1 mangkuk taugeh-celur
1 biji cili merah besar-hiris
2 labu bawang merah-mayang

Note; boleh gunakan pelbagai jenis ulam lain. Ikut selera dan apa yang ada di dapur anda ya. Contohnya kacang panjang, kacang botor, kubis, salad, jantung pisang, taugeh, timun dan lain-lain.


Bahan rempah kerabu; (B)

1/2 biji kelapa parut- sangrai hingga perang dan tumbuk
1 genggam udang kering- cuci bersih-  sangrai dan tumbuk
1 mangkuk udang- dibuang kulit dan dicelur- cincang (boleh juga guna isi kerang/isi ikan/isi ayam/daging.)

Tumbuk lumat sambal belacan; (C)

1/2 ici belacan
4 biji cili padi merah-boleh tambah/kurang ikut tahap kepedasan memasing.

Bahan perisanya (D)

1 1/2 sudu kecil garam
2 sudu besar gula
2 biji limau nipis-perah ambil airnya.


Cara membuatnya;


  1. Masukkan semua bahan A, B, C dan D dalam mangkuk besar.
  2. Gaul rata semua bahan dan rasakan masin, masam dan manisnya,
  3. Siap!.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...