Friday 26 September 2014

Potato Fritters Versi Cikgu Wan

Sekarang ni demam Potato Fritters atau cucur kentang kat FB. Cik Wan pun dapat request daripada kengkawan untuk membawanya ke sekolah. Kebetulan ada banyak kentang lebih buat Shepherd Pie baru ni, bolehlah buat untuk sarapan tadi.

Yang lucunya malam tadi cikwan sibuk dok pulun marking kelas yang terakhir jadi tak sempat nak buat apa2 persediaan. Terjaga pulak dalam pukul 5.30am...terkejar-kejar mengupas kentang, mengopek udang pendek kata semua proses dari A ke Z dibuat subuh2 tu...azan 6.30am berenti solat Subuh, nasib baik hubby tolong tengokkan cucur yang sedang digoreng...kalau tak sure hitam legam..hehehehe tq Mr A.

Kesian pulak sebab tak sempat nak goreng untuk Mr A bawa ke pejabat..memang tak sempat sungguh. Siap sebekas untuk dibawa ke sekolah sahaja,  balance bancuhan saya simpan dalam peti sejuk...len kalilah ya, walaupun agak terkilan sebenarnya..

Saya gunakan resepi saya sendiri..maklumlah main campak2 sahaja dan saya buat banyak kerana dah berniat untuk dibawa ke sekolah dan pejabat hubby. Jadi pandai2 lah kawan2 adjust sukatannya ye.

Bahan- bahan untuk Cucur Kentang.

10 biji kentang- dikupas kulit dan disagat halus.( Saya sagat dalam air, dibasuh bersih dan ditoskan)
2 1/2 cawan tepung gandum.
3 biji telur.
1 labu bawang besar- dadu kecil
1 ikat daun sup/saderi- potong
1 ikat daun bawang-potong
1 peket kecil udang kering - basuh dan tumbuk.
1 cawan udang kertas- dikupas kulit.
1 biji lada hijau - dihiris nipis
1 biji cili merah- dihiris nipis
1 sudu kecil lada sulah
3 sudu kecil garam- boleh tambah/kurang
1 sudu besar gula- boleh tambah/kurang
1/2 cawan air jika perlu- maksudnya jika bancuhan tidak sebati bersama, boleh tambahkan air sedikit-sedikit.

Gaul semua bahan hingga jadi seperti ini.

Paling sesusai gunakan kuali leper. Sudukan bancuhan ke dalam minyak panas, tekan supaya leper sedikit dan goreng hingga garing.


Nasi Briyani Sedap Sengoti


Nasi briyani memang kegemaran saya dan suami. Sebenarnya nasi ni saya masak pada hari Rabu lepas, baru malam ni sempat nak diupload. Maklumlah..sibuk manjang dengan kertas peperiksaan percubaan SPM...alhamdulillah, semua paper telah ditanda dan sudah dimasukkan dalam SAPS...lega...bolehlah bersantai-santai malam ni dengan mengemaskini entri yang tertunggak..

Resepi ini menggunakan 100% rempah buatan sendiri...kita buat cara mencabar sikit tapi jangan bimbang, bahannya mudah dan ringkas sahaja..jom tengok resepinya;

Rempah Briyani untuk ayam briyani;

1 labu bawang besar dimayang
1 sudu jintan manis
3 biji cili kering- potong
1 biji buah pala
3 biji buah keras
3 biji badam
1/2 cawan kismis

Semua bahan di atas digoreng dan dimesin lumat menjadi paste briyani seperti gambar di bawah.


Bahan tumisan untuk ayam briyani;

1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga

1/2 inci halia
3 ulas bawang putih
1/2 cawan yogurt- saya gantikan dengan 2 sudu susu tepung, 1/2 sudu cuka dan 1/2 sudu gula yang dibancuh dengan 2 sudu mentega cair seperti gambar di bawah.
2 helai daun bay
Garam

  

Cara memasak ayam briyani;
  1. Tumiskan rempah kasar sehingga naik baunya.
  2. Masukkan halia dan bawang putih yang telah ditumbuk.
  3. Tumis hingga naik bau dan warna sedikit perang.
  4. Masukkan rempah briyani.  Kacau hingga naik minyak.
  5. Masukkan ayam, daun bay dan yogurt. 
  6. Masukkan garam dan sedikit air. Kacau hingga ayam masak.
 












Cara memasak nasi briyani;

Bahan-bahan;

2 1/2 gelas beras basmathi- basuh, rendam 30 minit dan toskan.
3 gelas air- dipanaskan terlebih dahulu
Ayam briyani
1 labu bawang besar- mayang
1 ulas bawang putih - mayang
3 sudu minyak sapi
1 sudu mentega
3-4 titik rose flavour.

Bawang goreng, kismis goreng dan gajus goreng untuk hiasan.


  1. Panaskan mentega dan minyak sapi. Tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga perang.
  2. Masukkan beras, goreng sebentar.
  3. Masukkan ayam briyani, kacau sebentar.
  4. Masukkan air panas dan sedikit garam. Tutup periuk dan masak nasi.
  5. Bila 3/4 masak, kaup balikkan nasi dan dititikkan rose flavour. Tutup periuk. Masak hingga nasi masak sepenuhnya.

















Dah siap....boleh makan dengan lauk yang disukai. Selamat mencuba!!!





 

Tuesday 16 September 2014

Pengat Pisang Nangka Dengan Pulut Tanak.

Pantang jumpa pisang nangka, memang saya akan beli. Macam-macam dalam kepala ni nak buat pengat nak buat sira nak goreng ataupun rebus sahaja hehehe..macam mana tak gemuk kan?
Plan asalnya nak buat nasi dagang petang ni tapi malangnya seperiuk ikan tongkol hangus jadi arang bila chefnya terlena sebentar huhuhu..satu rumah berasap. Kelapa yang dibeli digantikan untuk masak pengat pisang nangka ni...oklah..jauh benar kemenjadiannya..daripada nasi dagang menjadi pengat pisang hehehehe..

Bahan-bahan:

10 biji pisang nangka- potong ikut suka dan rendam sekejap dalam air kapur sireh.
2 biji kelapa parut ambil santan secukupnya- kuah agak banyak sebab dimakan dengan pulut.
2 keping gula melaka
2 senduk kecil gula putih
1/2 sudu kecil garam
2 helai daun pandan dikoyak dan disimpulkan.

Cara-caranya;
  1. Masukkan santan ke dalam periuk.
  2. Patah2kan gula melaka dan masukkan dalam santan. Masukkan gula dan garam sekali.
  3. Masukkan daun pandan dan kacau kuah hingga gula melaka hancur.
  4. Toskan pisang yang direndam tadi dan masukkan ke dalam kuah.
  5. Kacau hingga pisang masak atau kuah menggelegak sebentar. Kacau dengan lembut dan jangan tinggalkan nanti kuah berketul.
  6. Tutup api sambil dikacau sebentar. Siap.
Pulut : Tanak 1/2 kg pulut dan hidangkan bersama-sama pengat pisang...yummy!!!!
 


Shepherd Pie ala Cikwan






Sudah lama mengidam nak makan Shepherd Pie ni tapi tak berkesempatan nak buat dan kalau buatpun takut tak ada orang nak makan maklumlah Alis dan Aifaa tak ada di rumah. Maka cuti sekolah ni saya berjaya juga melaksanakan impian nak masak pie kegemaran ni. Saya  melihat resepi2 seperti dari blog2 terkenal ..saya juga merujuk video resepi yang sama ni tapi akhirnya bantai jugak cara dan citarasa sendiri hahahaha...jom tengok resepi ni cara CikWan..

Bahan untuk inti;

1 peket daging kisar (saya guna jenama Ramly Burger)
2 labu bawang besar didadu
3 ulas bawang putih cincang halus
2 helai daun bay
1 tin sos Prego (tin hijau)
3-4 biji cendawan butang yang besar
1 tangkai daun rosmary dicincang halus
1/2 sudu kecil oregano - awalnya saya tak letak..tapi mcm tak ada kick la..hihihi (nak letak boleh, taknak letakpun tak apa, dlm kebanyakan resepi  tak letak ni)
1/2 kecil lada hitam ditumbuk.
2 sudu tepung gandum
Garam
Gula

Cara memasaknya;
  1. Panaskan sedikit minyak. Tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga layu.
  2. Masukkan daging cincang dan tumis hingga keluar airnya. Kacau hingga hampir kering.
  3. Masukkan daun bay dan rosmary. Kacau lagi 
  4. Masukkan tepung gandum dan kacau lagi sebentar. 
  5. Masukkan air dalam 1/2 cawan dan kacau hingga daging masak dan lembut. 
  6. Masukkan sos prego, lada hitam, oregano, garam dan gula secukupnya.
  7. Masukkan cendawan dan kacau hingga pekat. Siap dan sejukkan.

Bahan untuk kentang putar.

1 kg kentang- dikupas dan direbus hingga empuk. (Masukkan sedikit garam semasa merebus)
1 sudu mentega
1/2 ketul keju cheddar- keju apapun boleh cuba
Sedikit susu segar/ bancuh susu tepungpun boleh
1/2 sudu lada sulah
Garam secukupnya
1 genggam daun parsley dicincang

Cara-membuatnya;
  1. Apabila kentang telah empuk, toskan dan masukkan dalam mangkuk besar
  2. Semasa panas-panas tu, masukkan mentega, keju, lada sulah dan garam- lenyek hingga kentang hancur dan bahan sebati.
  3. Sambil itu masukkan susu sedikit demi sedikit- saya rasa tak sampai 1/4 cawan.
  4. Masukkan hirisan daun parsley..siap. 

Cara menyediakan Shepherd Pie;

  1. Sediakan bekas yang sesuai- yang lebar seperti casserole pan sangat sesuai ataupun boleh juga dalam ramekin
  2. Mula-mula masukkan inti...ratakan.
  3. Kemudian masukkan kentang putar ke atasnya.
  4. Ratakan lapisang kentang dan cucuk dengan garfu supaya permukaannya tidak rata. Ini untuk menghasilkan satu lapisan garing. Masa ni nak letak mozarella cheese pun boleh..saya tak letak atau boleh juga nak letak lapisan sapuan telur kuning.
  5. Bakar hingga warna nya menjadi golden dan sedikit perang. Siap.

Sunday 7 September 2014

Rezeki hari minggu..

Assalamualaikum..

Hari ni sibuk macam biasa, siap hantar periuk belanga yang dipinjam daripada Kak Zaini seawal 8.00am. Kak Zaini siap hidangkan lempeng dengan gulai darat daging lagi hehehe...rezeki di pagi Ahad.

Balik dari menghantar periuk, terus ke asrama Aifaa, tapi singgah dulu beli sarapan nasi berlauk di Restoran Narakth dan bersarapan sekali lagi bersama-sama Aifaa...haii..memang susah nak kurus macam ni hahaha.

Tengah hari ni selepas melipat kain yang telah ditimbun hampir seminggu hahaha, saya masakkan nasi minyak untuk dipadankan dengan rendang daging, sambal sotong dan dalca buah tangan Kak Zaini dari kenduri anakbuahnya di Melaka...sebenarnya semua juadah tu dihantar malam tadi sebaik kak Zaini sampai dari Melaka. Saya cepat2 panaskan takut basi. Alhamdulillah..rasa terharu ada orang yang ingatkan kita yang mmg sukakan rendang Melaka dan sambal sotongnya...jom cuci mata tengok hidangan tengah hari saya sekeluarga hari ni.




Wednesday 3 September 2014

Ketupat Sotong untuk Alis dan Aifaa


Assalamualaikum....salam siaran..adoi, lama sungguh tak berblog, lebih sebulan, Sibuk sungguh selepas raya baru ni. Sibuk dengan kerjaya, dengan kerja rumah dan anak-anak..kadang sihat kadang tidak..bukan tidak masak tapi tidak sempat ambil gambar dan kadang2 terlupa. Bayangkan saya buat openhouse dengan 100% masakan dimasak sendiri, bertungkus lumus tapi lupa ambil gambar...sekeping pun tak ingat..masyaAllah.

Yang inipun sempat diambil dari dalam periuk, tak sempat nak hidang, berkejar-kejar ke majlis kenduri rakan-rakan. Sempena cuti kemerdekaan baru2 ni, Alis dengan Aifaa bercuti dan saya masakkan hampir dua kilo ketupat sotong..dalam 40 ekor jugaklah...licin semuanya..memang puas hati membuatnya sebab memang kesukaan mereka.

Untuk resepi dan cara membuatnya, sila ke SINI.. selamat mencuba ye..dan jangan lupa, ini juadah desert  ye, bukan lauk hihihihi..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...