Saturday, 29 December 2012

Ayam Paprik Ringkas-Ringkas Aje..

Kadang-kadang putus idea macam mana nak masak supaya anak-anak berselera makan. Ini salah satu resepi mudah bagaimana nak masak ayam selain daripada yang biasa-biasa kita buat tu. Paprik ayam ringkas tanpa sayur-mayur melainkan serai dan daun limau purut saja. Kalau rasa nak tambah sayur tu dipersilakanlah yer...

Bahan-bahannya:
Sebelah ayam dipotong kecil- garam kunyitkan dan goreng sebentar sahaja untuk hilangkan hanyir.
5-7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
5-7 biji cili kering (nak pedas boleh tambah)
Sedikit halia
3-4 helai daun limau purut-dikoyak-koyakkan
2 batang serai diketuk
2 sudu sos tomato
3 sudu sos cili
1 sudu sos tiram
Sedikit air asam limau nipis
Garam
Gula

Cara-caranya;
1. Blendkan bawang merah, bawang putih, cili dan halia hingga lumat.
2. Tumiskan bahan blend hingga naik minyak.
3. Masukkan semua bahan sos bersama-sama dengan serai dan daun limau purut. Tumis lagi.
4. Masukkan ayam bersama-sama semangkuk air. Masak hingga pekat. Perisakan garam dan gulanya.
5. Bila kuah pekat dan ayam masak boleh diperah sedikit asam limau nipis. Siap.



Friday, 28 December 2012

Air Asam Ikan Bakar

Air asam..ooo..air asam, huh kecur mulut bila mengenangkan sedapnya air asam ni dicicah dengan ikan atau daging bakar...alamak!! boleh hancus diet kalau macam ni..hehehee.
Buat air asam ni kena berani bermain dengan garam, gula dan asam..kalau tak, hasilnya tak menjadi..tak kow kata orang. Resepinya sangat mudah dan cepat disediakan, tengok bahan-bahannya yer..
Bahan-bahannya;

5-6 biji cili padi
2-4 biji cili merah besar
1-2 sudu besar asam jawa dibancuh dengan 1/2 cawan air masak
Sedikit belacan dibakar dahulu
1 sudu garam
3 sudu gula
Sedikit ajinomoto kalau suka
-semua bahan diblend halus.

1 labu bawang besar-didadu halus
1 biji tomato-didadu halus
Sedikit sahaja air limau nipis untuk membangkitkan aroma

Cara-cara;
Masukkan bahan yang diblend dalam mangkuk.
Masukkan buah tomato dan bawang besar yang telah didadu.
Perahkan asam limau nipis. Kacau, kalau pekat sangat boleh tambah air masak lagi.
Perisakan supaya ada rasa masin, manis dan masam. (Lebihkan rasa manis berbanding masin)
Siap.
* Kalau suka;
-boleh tambahkan sos cili
-boleh blendkan sekali dengan udang geragau
-boleh potong-potong aje cili dan semua bahan-gaul/ramaskan dengan tangan semua bahan hingga sebati..no problema..:-)

Sedapnya kalau makan dengan ikan bakar macam ni..


Tambah-tambah kalau ada lagi benda ni..

hehehehe...sahlah..mentua lalu kat belakang sure tak nampak..sebab kat belakang la kan..!!!
Yang ni versi potong dan ramas..curah atas pari rebus..

Ok, selamat mencuba air asam versi Cik Wan ye...

Thursday, 27 December 2012

Kari Kicap Ayam

Waduhhh, hari ini hati manyak susah...buat apapun tak boleh..alahaiii.
Daripada dok tension-tension tu, baik saya tulis resepi yang bagus ni..supaya masa cepat berlalu dan tak adalah kepala dok pikir benda-benda yang hempeh tu...insyaAllah ada jalannya..:-)

Resepi ni saya belajar daripada seorang kawan semasa sambung Master di UKM tahun 2006 dulu..cikgu ni dari Batu Pahat dan keluarganya memiliki restoran dan perniagaan katering. Mudah saja cara memasak dan bahan-bahannya tapi rasanya sangat sedap dan sesuai untuk dihidang bersama nasi, roti jala, roti biasa ataupun roti Arab.

Bahan-bahannya;
1 ekor ayam dipotong kecil- bersihkan dan letak garam kunyit.

6-10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Seinci halia
5-7 biji cili kering
(Semua bahan di atas diblender)

1 peket serbuk kari ayam/daging-bancuh dengan air
Sedikit air asam jawa
3 helai daun limau purut
2 biji tomato, potong empat
1 labu bawang besar dipotong.
2 biji cili merah dan hijau dibelah dua
Kicap manis secukupnya
Garam dan gula jika perlu.

Cara memasaknya:
1. Goreng ayam separuh masak untuk hilangkan hanyir sahaja.
2. Tumiskan bahan blender hingga naik minyak dan berbau wangi. Masukkan daun limau purut.
3. Masukkan bancuhan rempah kari, tumis lagi hingga naik minyak.
4. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Masukkan juga air asam jawa dan semangkuk air. Kacau
5. Masukkan kicap manis hingga warna kuah menjadi hitam kemerahan. Perisakan.
6. Kacau hingga ayam masak dan kuah pekat. Masukkan bahan hiasan seperti bawang dan buah tomato serta cili yang telah dibelah. Siap.

*dalam versi asal resepi ini, ayam tidak digoreng dahulu, tetapi saya dapati lebih baik kalau digoreng kerana isi ayamnya lebih pejal dan berbau wangi.
Boleh ditukar kepada daging tetapi kalau gunakan daging tidak perlu digoreng terlebih dahulu.



Thursday, 13 December 2012

Kerabu Sare Mek


Mek saya menyara anak-anak dengan menjual kuih-muih dan lauk-pauk. Malahan pekerjaan itu telah diwarisi daripada dua generasi sebelum beliau iaitu arwah nenek dan arwah moyang yang kita panggil Wa @ Wo Che Mah. Pekerjaan yang sangat berat kerana pada masa itu semua proses membuat kuih dilakukan secara tradisional seperti mengisar tepung, mengukus dan membakar menggunakan dapur kayu dan sebagainya. Jadi kami anak-anak beliau akan turut serta dalam proses membuat kuih-muih dan lauk-pauk tersebut dari awal hingga siap. Memang labour intensive betul..hehehe. Tapi budak-budak masa itu tak pernah kenal erti merungut atau malas..kami lakukan sebab ia ibarat tugas hakiki sebagai seorang ahli keluarga. Alhamdulillah.

Hari ini saya akan berkongsi sejenis lauk kerabu jualan Mek dulu. Hehehehe, saya masih ingat lagi bagaimana tangan-tangan kami menggelupas dan luka masa membersihkan rumpai-rumpai laut yang kami panggil Sare. Masa dulu sare tu kotor, penuh dengan siput-siput laut dan sampah sarap. Memang jenuh nak membersihkannya. Maklumlah, bukan sedikit malah berkilo-kilo banyaknya.

Sare mentah @ kering..perlu direndam dan dicuci bersih.

Selepas dibersihkan..toskan airnya.

Jemur tengah panas jap..yang warna hitam akan tukar putih..
huhuhu hari ni tak ada matahari la pulak!!

Ambo bukan jenis penyabar..tunggu kejap je,
tak apalah..dah ada sikit-sikit yang warna putih tu..
hujan-hujan kau datang lagi...Endang S. Taurina dok nyanyi hehe

Lepas jemur tadi rendam sekejap dan toskan kering
 sebelum dicampurkan dengan mangga muda
yang disagat berserta bahan lain

Kena campur dengan tumis ini, tengok resepi kat bawah ni,

Tumis Kerabu Sare/Nasi Kerabu:
1 biji kelapa- ambil santan pekat
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang puti
5-8 biji cili kering
3 batang serai
1 inci halia
2 keping asam
Sedikit gula dan garam.
Cara-caranya:
Blend semua bahan di atas.
Masukkan dalam santan.
Masak atas api, kacau sekali-sekala hingga rupanya seperti di atas.
*Kalau masak untuk nasi kerabu, jangan lupa masukan sedikit budu.

bersama sambal kelapa ni, ambil resepi kat sini


kena tambah cuka dan sudah semestinya..jeng..jeng..budu!!!!!



Sebelum dihidang potong atau gunting pendek-pendek sare...
baru diletakkan samal kelapa, tumis, sesudu kecil  cuka
dan sesudu kecil  budu..beressss..tunggu ngap jee..

Rasa sare ni istimewa, tak jumpa pada kerabu-kerabu lain..bila kunya krup krap bunyi ranggupnya...hehehe tak kenal maka tak cinta. Kalau anda semua ke Kelantan, cuba beli untuk sama-sama merasa kerabu yang fames ni..terima kasih Mek.

Wednesday, 12 December 2012

Kerabu Apa Yang Ada di Dapur

Dalam usaha berdiet sekarang ni banyak betul dugaan dan cabaran yang terpaksa saya hadapi. Maklumlah berat badan saya adalah yang paling berat seumur hidup ni..masya Allah, mungkin faktor usia yang semakin bertambah, kadar metabolisme yang rendah menyebabkan pembakaran kalori tidak sebanyak jumlah pengambilannya.
Minggu ni dan moga-moga minggu seterusnya juga saya bertahan untuk mengawal pengambilan nasi, kedua-duanya dari segi kuantiti juga hanya makan nasi sehari sekali. Bertemankan Alis, saya cuba jogging keliling taman setiap pagi. Harap-harap sebelum buka sekolah ini saya akan dapat mengurangkan berat badan dalam 3-5kg, insyaAllah.
Tengah hari ni terasa lapar pula perut ni...dah habis keroncong, dia dah mula menari gangnam pulakk. Tinjau-tinjau dalam peti sejuk dah tak ada apa yang boleh dimasak..malas pulak nak ke pasar. Budak-budak tu dah kenyang makan nasi berlaukkan tumis sardin. Tak selera pulak tekak ni nak mengadap nasi dengan sardin sahaja. Yang ada dalam peti tu cuma mangga muda, dua tiga tangkai selom dan timun. Keluarkan, potong-potong..ingat nak buat kerabu siam..tup-tup jadi kerabu lain..hehehe
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Bahan-bahannya;
1 biji timun di hiris halus -kulitnya sahaja (saya pakai sagat)
1 biji mangga muda-disagat
2-3 tangkai daun selom-dihiris halus
2-3 daun selasih dihiris halus-tak adapun tak apa-pokok ni saya tanam sebab suka buat ulam.
1 biji bawang besar merah-dimayang
2 genggam udang kering-disangrai
1 inci belacan
3 biji cili api
1 biji asam limau nipis-ambil airnya
Garam
Gula

Cara-cara membuatnya;
1. Satukan semua bahan sayur yang telah dipotong/sagat/mayang
2. Tumbuk belacan, udang kering, cili api dan garam dan gula hingga lumat.
3. Masukkan kedalam bahan sayur.
4. Gaul rata sambil diperahkan asam limau nipis ke dalamnya.
5. Perisakan  garam gula dan asam secukup rasa. Siap!!!

Ini hidangan tengah hari saya. Sesenduk nasi, seekor ikan sardin dan sepiring kerabu apa-apa ajer..alhamdulillah!!!



Tuesday, 11 December 2012

Me and my precious loves

Kakak Alis  dan Aifaa


Suka bergaya..Zahirah...

Yang ditunggu-tungu..Zikry!!


Me and my lovely Mum!!!

and lastly..introducing my hu...ooopppssssss!!!!! Jangan marah ye bang....hehehe
 

 

Sunday, 9 December 2012

Kek Puding Keremel

Pandang dari atas macam puding keremel biasa jer
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Tadddaaaaa...Kek Puding Keremel rupanya...
Terima kasihlah kepada tuan empunya resepi yang saya ambil dari Facebook Resepi Turun Temurun Istimewa Keluarga Kita..tak ingat dah siapa nama pemiliknya..memang senang cara membuatnya dan walau kali pertama mencuba, terus menjadi.....terima kasih bebanyak.
Tapikannnn, saya tidak berapa suka menggunakan banyak kaler seperti rainbow yang sangat cantik tu..saya hanya gunakan warna daripada Nescaffe...ganah betul..suka-suka je oter resepi orang..ya ammpuunnn!!!
Ok, ini resepi asalnya..
Bahan-bahannya;
saiz 7x7
Bahagian (A) 2 sudu besar gula (untuk buat gula hangus)
*tabur gula dalam loyang dan  masakkan atas api perlahan..biar gula hancur dan warna bertukar menjadi perang)

Bahagian (B) - Topping
1/2 tin susu cair FN...(boleh tambah kalau nak karamel tebal sikit)
1/2 tin susu pekat (boleh di kurangkan ikut manis yg disukai..)
1/2 sudu teh esen vanila
3 biji kuning telur...(kalau tambah susu cair kena tambah jugak telur)
1 sudu besar tepung kastard

Bahagian (C) - Lapisan Kek
140gm tepung gandum
70gm gula kastor
3 biji kuning telur
135ml air biasa
1 sudu teh baking powder (guna sudu KFC)
45ml minyak masak-saya guna minyak sayur

Bahagian (D)-Merinque
6 biji putih telur
70gm gula kastor
1 sudu teh krim of tartar (guna sudu KFC)atau air lemon/cuka

Cara menbuatnya:
1. Blend semua bahan (B)
2. Masukkan (B) tadi ke dalam loyang gula hangus tadi. Biarkan.
3. Pukul bahan (C)
4. Pukul sampai bahan (D) jadi kembang dan bila kita telangkupkan telor putihnya tidak jatuh-hehehe terlopong anak-anak saya tengok.
5. Campurkan adunan (C) + (D) dan gaul dengan senduk hingga sebati.
6. Bahagikan kepada beberapa bahagian dan letak warna dan paste kalau suka.
7. Masukkan ke dalam loyang (no.2) tadi.
8. Bakar cara double boiling - selama 1jam suhu 160-180C
9. Bila masak angkat dan rehatkan  10 minit baru diterbalikkan kek tadi.
10.Masukkan dalam peti sejuk 1jam dan lepas itu dimakan sejuk-sejuk.

Langkah nampak banyak tapi sebenarnya tidaklah susah sangat.
* Untuk buat meringue, saya lapkan dulu bekas dan pemutar kek dengan tisu yang dicelup ke dalam cuka untuk memastikan tiada setitis airpun pada peralatan yang digunakan kerana ia akan menjamin kualiti meringue yang baik serta telor putihnya mudah kembang.

Selamat mencuba.





Sambal Goreng Tempe, Ikan Bilis dan Petai


Snap gambar cepat-cepat...ada orang tengah lapar, sabar ye hehehe
  

Bahan-bahannya;
2 keping tempe-dipotong nipis
1 mangkuk ikan bilis
-kedua-dua bahan ini digoreng garing.

6-8 ulas bawang merah
1 mangkuk kecil cili kering potong, rendam dalam air panas
1 genggam ikan bilis
-bahan ini dimesin lumat

2 keping petai di kupas bijinya.
sedikit air asam jawa
Sedikit kicap manis
garam
gula

Cara-cara memasaknya;
1. Panaskan minyak-agak banyak (minyak lebih goreng tempe dan ikan bilis tadi)
2. Tumiskan bahan mesin, gula dan asam jawa.
3. Rasakan ikan bilis goreng tadi, jika ikan bilis sedia  masin hanya masukkan sedikit sahaja garam ke dalam tumisan.
4. Goreng/tumis hingga garing (warna bertukar sedikit gelap, ada buih-buih minyak dan cili nampak kerinting)
5. Masukkan sedikit kicap manis.
6. Masukkan petai. Kacau.
7. Tutup api, masukkan ikan bilis dan tempe goreng, kacau sebati. Siap.

Yang ni versi ada kacang tanah goreng

 

Sayur Lemak Batang Keladi

Hidangan mengimbau kenangan lama..
 
Hari ini abang nombor dua nak datang ke rumah. Dia outstation di Kelang so ada peluang datang menziarah kami di Kajang ni. Pikir-pikir nak masak apa tengah hari ni, pi kedai Acheh dok intai-intai apa yang nak beli. Kejap pegang kepala ikan Merah, macam nak buat kari..kejap-kejap pegang daging, macam nak masak gulai kawah......tup-tup terpandang sayur keladi .... memang tahu abang saya sukakan sayur lemak keladi..bukan apa, ni masakan asasi kami masa kecil-kecil dulu. Untuk temankan sayur lemak keladi tu saya masakkan sekali sambal goreng tempe ikan bilis dan petai, ulam petai rebus, pucuk selasih dan nangka muda celur, siakap tiga rasa dan pelengkapnya budu tempoyak..memang terangkat habis..hehehe.
 
Masak sayur keladi atau gulai keladi ni memang simple, sesuai untuk dewasa mahupun kanak-kanak sebab tidak pedas....banyak betul Si bongsu saya Zikry makan nasi tadi...hehe.Ok, kita tengok resepinya.
 
Bahan-bahannya:
2 batang sayur keladi
   - siang/buang kulit arinya, potong dan masukkan terus ke dalam air garam
   - basuh   bersih.
   - celur sekejap bersama-sama dengan 3 keping asam dan sedikit garam (sekali menggelegak shj)
   - toskan, jangan dibuang asam kepingnya.
 
1 biji kelapa (ambil lebih kurang 3 mangkuk santan)
 
Mesin/tumbuk lumat;
3 ulas bawang merah
1 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas
1 genggam ikan bilis
Mesinkan/tumbuk
 
6-7 ekor udang dibersihkan-jangan buang kulit
 
Cara-cara memasaknya;
1. Masukkan bahan mesin/tumbuk dalam santan. Masukkan bersama garam dan gula.
2. Hidupkan api dan kacau hingga menggelegak. Jangan berhenti kacau nanti santan berketul.
3. Masukkan udang. Kacau hingga menggelagak lagi.
4. Masukkan keladi dan asam keping  yang telah dicelur tadi. Perisakan secukup rasa. Kacau sekejap.
5. Siap.
 

Saturday, 8 December 2012

Pulut Kuning

Bahan-banhannya;

1 kg beras pulut- basuh bersih.
Rendam bersama-sama pewarna kuning atau kunyit dan sekeping asam lebih kurang 1-2 jam.

1 1/2 biji kelapa.
Kali pertama perah tanpa memasukkan air-ambil pati
Kali kedua masukkan setengah cawan air-ambil santan pekatnya.
(Campur kedua-duanya lebih kurang 1 1/2 mangkuk santan)
Sesudu kecil garam dan sedikit gula jika suka. Masukkan dalam santan tadi.
* saya tidak masukkan gula kerana santanpun sedia manis.

Cara-cara;
1. Kukus kali pertama pulut.
2. Tunggu sehingga naik wap sebentar.
3. Keluarkan pulut dan dengan segera gaul dengan santan tadi hingga sebati.
4. Kukus semula kali kedua hingga naik wap agak lama.
5. keluarkan pulut dan gaul lagi semasa panas-panas untuk sebatikan pulut serta membuat pulut berkilat.
6. Siap. Boleh dihidangkan dengan rendang, kuzi, telur dadar hiris atau tumis ikan bilis..waduuuuhhh!!

Hari ni saya hidangkan pulut kuning dengan rendang lebih semalam..makin sedap rupanya rendang tu hari ni..hehehe



 




Spaghetti Bolognaise



Anak saya boleh makan ni sehari suntuk..tak payah makan nasi hehehe
 
Resepi kegemaran anak-anak dan suami. Yang dah biasa makan spaghetti saya ni selalu bertanya cara memasaknya sebab kata mereka sangat sedap. Alhamdulillah, sebenarnya saya sangat segan nak bagitahu resepinya..bukan apa, cara memasaknya dah di oter bagi nak menyesuaikan dengan anak-anak tekak kelantan pure kat rumah ..hehehe.

Adoi laa, harap-harap jangan ada yang komplen la bila baca resepi ni....yang nak cuba dipersilakan dan yang rasa pelik..abaikanlah resepi ni..heheheeh

Bahan-bahan kuahnya; (untuk sepeket pasta)

1 tin Prego tin hijau (Mushroom)
1 tin Prego tin merah(tradisional)
1 labu bawang besar kuning-didadu
2 ulas bawang putih-didadu
2 biji buah tomato tang besar-didadu
2 helai daun bay
1 sudu besar serbuk cili/kalau ada boleh letak paprika-kadang-kadang saya campur
2 keping dada ayam-dicincang/ daging
1 tin cendawan butang/1 peket shitake segar
2 - 3 tangkai daun parsley (chinese parsley atau italian parsley)-hiris halus
1 sudu serbuk oregano
1 sudu serbuk rempah bolognaise -optional (tak bubuhpun tak apa)
Garam, gula.

Cara memasaknya;
Panaskan minyak zaiton.
Masukkan bawang besar, bawang putih dan serbuk cili. Tumis sampai layu.
Masukkan buah tomato. Tumis sampai hancur.
Masukkan daging ayam, daun bay, rempah bolognaise-tumis sampai ayam 3/4 masak @ air ayam kering.
Masukkan sos Prego. Setiap tin dicuci dengan separuh tin air-masukkan balik air tadi ke dalam kuah- maksudnya kuahnya terdiri daripada 2 tin sos dan 1 tin air.
Kacau hingga menggelegak.
Masukkan cendawan, daun parsley, serbuk oregano, garam dan gula secukup rasa.
Dah masakkkk!!!
tadaaa!!!

Senangkan? Selamat mencuba!!
Bolognaise ala kelate...nyum..nyumm!!!


Friday, 7 December 2012

Masak Tempoyak Kepala Ikan Merah


Walaupun saya orang kelate namun sangat sukakan masakan tempoyak tak kiralah yang air atau yang guna santan..lagi pedas lagi bagus...hehe

Tapi saya tak tahulah sama ke tidak dengan resepi original. Ni cara  yang saya belajar dengan kawan sekolah iaitu Puan Zilawati yang berasal dari Perak..Terima kasih yer di atas tunjuk ajar yang diberi kalau tidak silap pada tahun 2003..hehehe dah lama tu..bayangkan dah berapa kali saya memasak menggunakan cara beliau..semoga mendapat ganjaran pahala yang tidak putus-putus..insyaAllah.

Disebabkan orang-orang di rumah saya tidak makan ikan sungai maka selalunya saya gunakan kepala ikan Merah atau ikan Tenggiri.

Bahan-bahannya;
1 biji kepala Ikan Merah yang besar.
2 inci kunyit hidup
10 biji cili padi
2 batang serai diketuk
3 sudu besar tempoyak
garam dan gula
Asam keping jika diperlukan (jika tempoyak belum masam).

* jika suka boleh tambah bunga kantan, daun kesum, buah timun, buah belimbing buluh, labu air dan lain-lain sayur yang ada.
*pesan Puan Zila jika nak rasa yang pure jangan masukkan bunga kantan dan kesum kerana akan meneggelamkan bau tempoyak dan serai...memang betul sebab itu saya jarang masukkan kedua-duanya.
* dalam gambar tu saya masukkan bunga kantan yang masih ada lebih buat laksa..hehehe, ore kelate kata daripada membazir baik membatil...

Cara-cara memasaknya;
1. Tumbuk kunyit dengan cili api hingga lumat.
2. Masukkan tempoyak dalam lesung, guling-gulingkan alu hingga semua bahan sebati.
3. Masukkan dalam periuk yang berisi ikan.
4. Masukkan air ke dalam lesung, pusing-pusing alu untuk keluarkan sambal yang lebih dan terus masukkan dalam periuk.
5. Tambah air secukupnya untuk kuah.
6. Masukkan serai yang telah diketuk.
7. Hampir menggelegak boleh rasa kuah. tambahkan garam, gula dan sedikit aji jika suka. Sekiranya tempoyak baru dan belum masam, perlu masukkan asam keping.
8. Masak hingga menggelegak. Siap.


Laksa Penang

Resepi ini untuk dua peket laksa bungkus jenama Twenty yang boleh dibeli di Tesco.


Bahan-bahan kuah;

1/2 kg ikan selayang/sardin-direbus dengan 5 keping asam dan garam.
           -isi ikan di asingkan dengan tulang dan diblend
           -tulang ikan juga diblend dan tapis ambil airnya
           -air rebusan ditapis dan dimasukkan dalam kuah.

10 ulas bawang kecil
2 ulas bawang putih
1 batang sulur kantan
5-7 biji cili kering
20 biji cili padi-boleh tambah boleh kurang..ikut selera
3 inci belacan
--- semua bahan di atas diblend hingga lumat---
1 tin ikan sardin Ayam Brand- masukkan terus bersama kuahnya tidak perlu diblend
5-7 asam keping
Garam secukup rasa
Sedikit ajinomoto-optional
Bunga Kantan
Daum Kesum
Air secukupnya

Cara-cara;
1. Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk yang besar- tambahkan air secukupnya dan rebus.
2. Perisakan mengikut selera.
3. Hidangkan dengan ulam timun, daun salad, hirisan nenas, cili potong, bawang merah besar potong, asam limau kasturi dan daun mint kalau suka.
4. Ada orang suka masukkan petis dalam kuah ataupun semasa menghidang- saya tidak suka.
5. Siap!!!

Masak jangan tak masak yer..hehehe



Kerutuk Daging dan Ayam


Satu perasaan lega dapat saya rasakan bila saya mula mengumpul resepi-resepi yang dah lama terkumpul di dalam buku resepi ke dalam blog tersayang ni. Rasa lebih selamat dan senang diakses . Maklumlah buku resepi ada risiko hilang dan rosak berbanding dengan blog ni insyaAllah. Sudah ada dua tiga buah buku resepi yang sentiasa saya bawa walau ke mana saya pergi berjalan terutama sekali bila balik kampung. Sentiasa mencatat semua jenis masakan dan makanan baru atau sukar ditemui yang saya nikmati dan saya pula jenis muka tidak malu untuk bertanya cara bagaimana masakan di disediakan..hehehe

Resepi hari ni merupakan menu kebanggaan orang-orang kelate. Tetapi macam biasalah ada pelbagai versi ramuan dan juga cara memasak. Apa yang saya tulis ini merupakan versi keluarga saya yang mudah dan ringkas. Mek saya lebih gemar memasak kerutuk itik serati berbanding dengan daging. Sedap dimakan dengan nasi panas-panas, pulut kuning ataupun roti jala atau roti biasa. jom kita tengok bahan-bahannya.

Bahan-bahan;

1 kg daging potong besar (kalau guna rempah kurma akan dipanggil daging buku besar yang dihidangkan semasa kenduri)
atau seekor ayam potong empat

1 biji kelapa ambil santan secukupnya
1/2 biji kelapa dibuat kerisek/ boleh beli yang ready made
1 peket rempah kerutuk/ 3-4 sudu rempah kerutuk-bancuh dengan air panas
Rempah 4 sekawan secukupnya-cengkih, lawang, pelaga dan bunga lawang
5-7 biji cili kering
10 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
Seinci halia
Seinci lengkuas diketuk
1 batang serai diketuk
Gula melaka/gula
Garam
Sedikit air asam jawa


Cara-cara.
1. Sediakan bahan tumis:
- rempah kasar 4 sekawan
-2 ulas bawang merah dimayang
-2 ulas bawang putih dimayang
-sedikit halia dimayang

2. Bahan lain selebihnya dimesin (bawang, cili kering, halia)

3. Panaskan minyak. Masukkan no. 1, tumis hingga wangi. Masukkan bahan no.2, kacau hingga naik minyak.
4. Masukkan rempah kerutuk, tumis hingga naik minyak sambil masukkan serai dan lengkuas ketuk, garam, gula, kerisek dan air asam jawa.
5. Masukkan daging/ayam dan kacau hingga keluar air daging.
6. Masukkan santan.
7. Masakkan sambil dikacau sekali sekala sehingga santan pekat seperti di dalam gambar di atas.

Dah siap..senang je, jangan kecut perut tengok langkah-langkah tu hehehe. Macam kita masak kari je kan?.

Kalau tak ada rempah kerutuk macam mana? Boleh cuba guna rempah kari daging tapi ditambah dengan ketumbar dan jintan manis yang telah disangai. InsyaAllah bolehhh.

Selamat mencuba yer..

Tuesday, 4 December 2012

Gulai Ikan Tongkol Nasi Dagang

Resepi nasi dagang dah bagi, sekarang resepi gulai ikan tongkol aka aya aka kayu pulak.
Ada dua resepi, satu lagi yang saya suka boleh tengok kat resepi 2. Kat sini saya mengaku, saya belum master lagi dalam gulai ikan ni. Saya masih tak tahu rahsia sebenar bagaimana mereka yang pandai tu merebus ikan hingga rasanya sungguh sedap. Cukup masam manis dan masin, warna kemerah-merahan dan isinya lembut tapi susah pecah.Sebenarnya selain daripada kuah, kesedapan gulai ni bergantung kepada ikan rebus tu..aduiiii, ada sesiapa boleh kongsi rahsia tak?

Dah bermacam cara saya cuba merebus dan menggulai ikan ni...setiap kali buat bagaikan satu eksperimen bagi saya..hahahaha, dah tua ni...agak-agak bila la nak master..hehehe

Oklah, untuk yang tidak kenal ikan tongkol, ada dua jenis ikan tongkol iaitu hitam dan putih.

Macam mana nak bezakan kedua-duanya?


 nampak tak bezanya?
Ikan tongkol hitam siripnya lebih panjang, isinya lebih lembut dan harganya lebih mahal. Ikan tongkol putih pula siripnya pendek, kulitnya lebih berkilat, isinya lebih keras dan harganya murah sikit...waaaahhhhh, bagus kelas hari ni kan? hehehe
Kalau untuk peniaga nasi berlauk atau nasi dagang, mereka biasanya gunakan yang putih, mungkin sebab isinya lebih keras dan pejal senang nak handle masa potong banyak-banyak dan masa nak bungkus tu...heheheh assumption! assumption !! pandailah kau Cik Wan ooiii...
Ok, ni gulai versi saya yer. Saya lebih suka versi ditumis berbanding dengan cara gulai darat.
1 ekor ikan tongkol (dalam 1 1/2kg - 2 kg seekor)- potong
Bersihkan, rendam dalam air asam jawa atau cuka sekejap.
Bilas dan rebus bersama-sama 6-8 keping asam keping, garam dan gula atau gula melaka. Masukan air sehingga ikan tenggelam.
Rebus dengan api perlahan sehingga airnya tinggal suku.
Bahan-bahan gulai .
1 biji kelapa ambil santan secukupnya.
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Seinci lengkuas
Seinci kunyit
5-7 biji cili kering
1 paket kari ikan @ 2-3 sudu rempah gulai nasi dagang kalau ada.
3-4 keping asam keping ambil yang digunakan untuk merebus ikan tadi.
(Mesin semua bahan di atas)
10-15 biji cili api dibuang tangkai.
Cara-cara:
Panaskan minyak.
Masukkan semua bahan mesin dan tumis hingga naik minyak dan berbau wangi.
Masukkan santan, asam keping dan cili padi.
Kacau hingga menggelegak.
Masukkan ikan rebus bersama-sama dengan air rebusannya.
Perisakan.
Tambah garam dan gula secukup rasa.
Kacau hingga menggelegak kali kedua atau hingga naik minyak dengan cantik.
Gulai ni mesti ada rasa masin, manis dan masam....baru powerrr hehehe.
* ada orang masukkan belacan, rempah kasar 4 sekawan semasa menumis dan ada juga yang masukkan jintan manis dan jintan putih..so, kalau rajin boleh cuba versi lain....ini versi yang paling mudah dan ringkas.
dalam periuk lagi ni
Cuti Deepavali hari tu kami ke Terengganu, wahhh best betul makan nasi minyak dengan gulai ikan kat Restoran Norazila di Simpan Empat Kuala Ibai.
Nasi Minyak Terengganu.

Apa lagi, bila dah sampai kat Terengganu tu saya bershoping sakan rempah gulai ikan Tongkol. disebabkan tak tahu brand apa yang sedap saya bantai je la beli kat Kedai Pak Leh betul dekat pintu masuk Pasar Payang tu, sedap jugak.

Macam-macam rempah ada kat sini.
Dah kenal ikan, dah ada bahan maka bolehlah  masak nasi dagang hari nikan?hehehhehe...selamat memasak yer kengkawan..tekak ni rasa macam nak makan nasi berlauk kat kedai Su di Sekamat tu pulak hehehe..off dapur hari ni boleh tak?






Monday, 3 December 2012

Nasi Dagang Kelantan

masakringkasringkasje



My favourite dish..nasi dagang kelate. Macam-macam pesen dan cara memasaknya, ikut tempat dan ikut bahagian mana di kelate tu..but of course I always do it myyyyyy waaaayyyy!!! hehehe macam lagu Frank Sinatra la pulak..heheh
ok, ini bahan untuk 1 kg beras nasi dagang yer.

Bahan-bahan:
1 kg beras nasi dagang kelantan (pilih yang warna cerah iaitu beras perang hampir sama banyak dengan beras putih) sebab kalau yang perang gelap tu nasinya lebih keras dan elok dicampur sedikit dengan beras pulut dengan sukatan 3 beras nasi dagang : 1 beras pulut.
-basuh bersih dan rendam dengan halba 2-3 jam sebelum kukus
2 biji kelapa parut ambil 2 mangkuk santan pekat dan 2 cawan santan cair.
7 ulas bawang merah-mayang nipis
2 inci halia-hiris halus memanjang
1 sudu halba untuk direndam dengan beras
1 sudu halba untuk kuah-tumbuk untuk pecah-pecahkan bijinya
Sedikit garam

Sedikit gula- saya TIDAK pernah masukkan gula kerana tidak suka nasi dagang manis, tapi kebanyakan nasi dagang kelantan manis, so ikut suka lah yer..tekak masing-masing kan? heheh
Cara-cara :

  1. Masakkan santan pekat dengan  garam hingga menggelegak/ tak nak masakpun boleh. Tapi agak cepat basi nasinya.
  2. Kukus beras nasi dagang kali pertama.
  3. Bila wap sudah keluar, biarkan sekejap dan keluarkan.
  4. Semasa panas-panas tu, masukkan santan cair dan kacau hingga santan sebati dengan pulut.
  5. Kukus semula.
  6. Kukus hingga wap keluar. Teruskan mengukus sehingga wap keluar dalam masa 5-8 minit baru dikeluarkan nasinya.
  7. Masukkan santan masak tadi dan bahan hirisan, halba pecah. Kacaulah hingga benar-benar sebati. Dahhh siap.
*kalau nak, boleh kukus lagi sekali sebentar sahaja, nasinya akan jadi berkilat sedikit. Kalau tak, cukup je dua kali kukus.
Kacau sebati
.
.
.
.
.
.
.
.
tengok dekat-dekat..
Hidanglah dengan kari ayam atau daging, gulai ikan tongkol, acar dan juga sambal kelapa. Boleh juga letak telor rebus.
masakringkasringkasje
Kadang-kadang saya suka campur udang dalam gulai ikan tongkol tu..senang kerja sebab anak suka makan udang
Notes:
 * Ada juga yang gunakan santan mentah dan hirisan bawang dan halia  mentah selepas dikukus kali kedua. terpulanglah ikut suka tapi saya dapati guna santan masak menjadikan nasi dagang lebih tahan lama dan lebih naik aromanya....insya Allah.
* Kalau tidak ada beras nasi dagang, boleh gantikan dengan beras wangi dan beras pulut dengan sukatan 3:1.
* Selamat mencuba.....:-)


Monday, 26 November 2012

Pau Goreng Kelate aka Roti Goreng

Pagi-pagi banyaklah roti ni di jual di Kelantan. Kalau adik ipar saya Azemi dan wifenya Siti Mariam, roti ni dijual dalam RM0.20 satu...murah giler....besar tapak tangan tau...

Ni resepi yang diajar kepada saya, bolehlah pakat-pakat cuba. Budak-budak sukalah makan roti ni panas-panas tambahan dalam musim hujan ni. Semalam saya buat dalam 1/2 kg tepung ..uhhh sekejap je habis pekena dengan teh -o panas di iringi hujan lebat mencurah-curah..hehehe

Bahan-bahannya:

1 kg tepung gandum
1 paket yis mauripan (bancuh dengan 1 cawan air suam kuku)
4 sudu margarine- semalam saya guna butter, gebu jugak
1 sudu besar soda bikarbonat dan 1 sudu kecil garam (bancuh dengan 1 cawan air)
1 cawan gula
Air secukupnya untuk menguli (sehingga adunan tidak melekat ditangan)
Sedikit pewarna kuning jika suka.

Inti kacang merah- saya beli yang ready made.

Cara-caranya.
Masukkan semua bahan ke dalam bekas dan uli sehingga adunan tidak melekat di tangan.
Biarkan doh naik 2 kali ganda.
Uli/tumbuk  sekejap doh tadi untuk keluarkan angin.
Bulat-bulatan doh mengikut saiz yang dikehendaki. (Jangan besar sangat sebab sebelum digoreng akan dileperkan dahulu, jadi saiznya akan jadi makin besar)
Masukkan inti kacang merah ke dalam doh (macam buat ondeh-ondeh)
Susun dalam dulang/loyang.
Panaskan minyak.
Sebelum  menggoreng, tekan-tekankan sedikit doh sehingga leper (jangan kuat sangat) dan terus masukkan ke dalam minyak.
Roti akan tenggelam, mengembang dan timbul semula. Balik-balikkan sehingga masak/warna perang. Siap.

*inti roti goreng boleh ditukar mengikut kesukaan anda.
Selamat mencuba

Monday, 12 November 2012

Ketupat Sotong

Sebenarnya dengan rasa duka cita saya menyatakan saya tak sepatutnya menulis resepi ini hari ini. Sepatutnya saya siapkan sijil-sijil berhenti dan surat akuan yang belum bersentuh tu...waaaaa....betul-betul tak ada mood nak kerja la..tak apa dah janji dengan PKHEM hantar selewat-lewatnya hujung November ni...ada masa lagi..ada masa lagi...jom kita belajar dulu buat ketupat sotong idaman malaya ni..hahaha
* bagi yang tidak pernah makan, ketupat sotong ini adalah sejenis kuih yer..jangan pulak dibuat lauk dimakan dengan nasi..muntah for sure..hehehe
alaaa..jangan takut, kalau tengok iron chef tu..ikan, daging dan ayampun boleh jadi dessert kan?..heheh..besttt tau..

Sungguh mengancam..!!!
 
 
Bahan-bahannya;
 
1-2 kg sotong sederhana besar (Lagi bagus kalau sotong yang sedang bertelor..yummy)
Bersihkan sotong, keluarkan tulang belakangnya. Cabut kepala sotong dan buang giginya. Sejatkan.
 
1 cawan beras pulut
4 keping nise
Sedikit gula (jika suka)
Sedikit garam
2 1/2 cawan santan pekat.
Daun pandan
Lidi/pencungkil gigi yang tajam hujungnya.
 
Cara-caranya;
 
Basuh beras pulut. Rendamkan dengan 1/2 cawan santan tadi bersama-sama sedikit garam. Biarkan sebentar.
 
Ambil sotong, isikan dengan beras pulut yang direndam tadi (kalau boleh bersama-sama dengan santannya sekali). Isi 3/4 penuh yer...kalau penuh sangat  ketupat akan jadi keras@ pulut separuh masak dan kurang sedap dimakan.
Tutup badan sotong dengan kepalanya dimasukkan balik ke dalam badan. Cucuk kepalanya dengan 2 batang lidi secara bersilang dengan kemas supaya ketupat tidak terburai semasa merebus nanti.
 
Susun daun pandan didalam periuk sebagai alas.
Susun semua sotong  dalam periuk dan masukkan santan yang 2 cawan tadi. (boleh tambah santan jika suka..selalunya saya letak santan hingga tenggelam sotong)
Tutup periuk dan rebus sotong.
 
Bila sotong hampir masak atau santan dah semakin kurang, masukkan gula nise atau gula melaka yang telah dipotong kecil dan gula. Masak sehingga nise cair dan kuah jadi pekat seperti di dalam gambar. Dah siappp.
* saya pernah makan ketupat sotong yang berkuah macam kuah pengat/bubur. Maaf, tak berapa suka pulak...mungkin dah biasa makan dari kecik versi pekat hitam ni seperti yang diajar oleh arwah nenek-nenek dan mak serta mak mertua saya.

Jangan lupa mencuba yer..ciao!!


Saturday, 10 November 2012

Kuih Kator



Antara menu jualan Mek dari zaman dulu...nak tulis resepipun susah sebab kami pakai campak-campak je. Katur ohh katur best sangat makan time hujan-hujan ni.

Versi asal yang mek jual warna coklat gelap sebab dicampurkan dengan gambir sirih dan sedikit air bancuhan serbuk kopi. Tak ingat pulak ada jual gambir kat Tesco, biasalah Cik Wan akan kreatif di saat-sat memerlukan..hahahah jadilah katur hijau versi pandan. Rasa dan teksturnya sama sebab bau daun pandan, rasa kapur dan gula melaka tetap ada. Best gitu..

versi biasa di kelate, warna coklat

Bahan-bahannya:

2 mangkuk tepung beras pulut
Sedikit air kapur (dalam dua sudu kecil air kapur -bukan kapur tau)
Air daun pandan untuk menguli tepung .
Sedikit minyak
Beberapa helai daun pisang.

Cara-cara.

Uli tepung pulut dengan air kapur dan air daun pandan. Adunan mesti agak lembut atau lembik. Dah siap uli dan adunan tidak melekat di tangan, sapukan dengan minyak  masak di semua bahagian doh. Alaskan daun pisang di atas dulang/loyang kukus. Sapukan minyak atas loyang dan letakkan doh. Kukus sehingga masak (15-20 minit). Sejukkan.

Bahan kuah.

3-4 keping nise @ 1 ketul gula melaka
Sedikit gula
2 helai daun pandan
1 mangkuk air


Cara-cara
Satukan semua bahan dan masak sehingga kuah pekat. Sejukkan

Bahan kelapa.

1/2 biji kelapa parut putih.
Secubit garam.
Gaulkan rata. .

Cara menghidang

Potong isi katur dengan gunting kecil-kecil (saiz sebesar buah onde-onde atau sebesar ibu jari)
Terus masukkan potongan ke dalam kelapa parut. Guling-gulingkan tepung katur dalam kelapa sehingga bersalut semuanya.
Letakkan dalam pinggan dan curahkan kuah gula melaka tadi.
Siap......selamat mencuba.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...